Google+ Followers

Thursday, July 26, 2012

Sajak Menyongsong Arus


Menyongsong Arus
Kemala
Kuala Tahan Taman Negara 2000

Sesekali arus wajar kusongsong
kalau tidak aku akan tetap mendap di kuala
di hulu sungai ada negeri sejuta tahun
beribu pohon belum disentuh
sejuta erang cengkerik di liang-liangnya
aroma daun dibasahi embun
gadis sunti menjabat puyuh di kaki gunung
"tak kulihat bayang pengembara jauh
menyelam di jeram dugaan
tak kutatap sayang meranum
dan berahiku gigil sendiri"
selasih di genggaman 
dan kasih di pautan.

Sesekali arus kusongsong 
untuk kukenal wajah kilatan maut
ambil cemuh, simpan di peti-peti besi
menunda-nunda serapah tuk batin
jejak pendekar padam sudah
batu-batu dihakis sejarah
seribu kerikil dengan gigi tajamnya
menyeringai menepis gerimis
"dialah yang melandai tubuhku
dentum peluru sepoi Inggeris
meringgis kulit, hanya desis
menyibak kebal embun tujuh subuh
dia berlalu meninggal bayang
tak berwajah, hanya dentuman

menerjah cengal, membalik
berdebur ke sungai
penuntun mata angin
taufan dalam diri
serigala mengilau di mata
"nyeberang kuala trenggan!"

Sesekali arus wajar kusongsong
merempuh jeram
batu-batu hidup, angin berdarah
membawa alamat
"masih  belum kiamat, dik
kau tiba pada senja
lewat seribu musim
aku menggenggam keris lok tujuh
kau menggumam pantun
dan gurindam. Namun
masih kita punya satu ibu!"

Sesekali arus wajar kusongsong
untuk kembalikan kilat diri
ke padang sasar sejarah.
Untuk mencium bau merbau dan keruing
dan terjemahkan
rintih sejuta cengkerik
di liang-liang rumahnya
di hutan purbawi ini.

Ada cermin
di dasar kali
ada amin
di dasar hati
menyongsong kali
menyongsong diri.


Kuala Tahan
Taman Negara


Sumber: Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Jun 2005



Maksud Sajak 

Rangkap 1
Sesekali penyajak berpendapat seseorang itu perlu menjadi pihak yang bertentangan arah. Jika tidak, mungkin kita akan berada ditakuk lama dan tidak berubah (jumud). Sesekali kita perlu meredah kepayahan dan  berjuang.

Rangkap 2
Apabila kita berubah arah (pendapat), kita akan dapat mendengar cacian manusia yang selama ini diam tidak berkata apa-apa. Malah akan terbongkar sikap buruk sebenar pihak penjajah dan penguasa yang sebenarnya bersifat bengis dan zalim.

Rangkap 3
Terserlahlah segala sikap dan keburukan diri .

Rangkap 4
Sesekali kita perlu melawan arah dan berani meredah kepayahan. Pejuang dahulu berjuang dengan senjata tetapi kita kini berjuang melawan arah hanya dengan bahasa penulisan yang penuh dengan kiasan. Tetapi matlamat perjuangan tetap sama seperti pejuang dahulu (Bahaman dan Mat Kilau).

Rangkap 5
Kita memang perlu melawan arus sekali sekala kerana ia boleh mendidik diri kita mengerti tentang sejarah lama. Kita akan dapat merasakan kepedihan dan kesusahan lampau. Kemudian kita dapat terjemahkan kisah kehidupan lampau itu.

Rangkap 6
Penyajak menyatakan bahawa terdapat pedoman tanda dan harapan yang positif apabila menyongsong arus. 

Tema sajak

Sajak ini bertemakan semangat cintakan negara atau nasionalisme.

Beberapa alasan boleh diketengahkan bagi menyokong pendapat ini. Sajak ini mengajak setiap individu yang membaca sajak ini agar tidak menjadi pak turut dalam semua keadaan. Kadangkala kita perlu berkorban dengan memberanikan diri untuk menyongsong arus yang kita ketahui banyak cabaran dan dugaan. Di antara cabaran ketika menyongsong arus adalah kepayahan mengharungi deruan arus air yang kuat. Malah bersama arus tentunya ada bahaya yang pelbagai. Terdapat batu batan yang tajam, pelbagai sampah sarap dan hanyutan yang datang bersama arus. Risiko bahaya menyongsong arus boleh mencapai tahap korban jiwa. Namun sekiranya kita sentiasa memilih untuk berada di zon selesa, maka kehidupan ini akan hanya menjadi biasa-biasa sahaja tanpa mengenal erti perjuangan dan pengorbanan. 

       Oleh itu, untuk mengharungi kehidupan dalam sebuah negara yang moden ini kita haruslah sentiasa berfikir dan bertindak demi kebaikan masa depan negara. Jika kita merasakan wujudnya perkara yang memerlukan pembelaan terhadap golongan yang tertindas, maka kita perlu berani mengemukakan pendapat kita. Sesekali kita perlu berani bersuara kepada pihak penguasa kerana tanpa tindakan sebegitu mungkin kita akan berada ditakuk lama dan tidak memberi apa apa erti dalam kehidupan kita sehingga penghujung usia seperti mana kata-kata pada baris sajak "kalau tidak aku akan tetap mendap di kuala". Tindakan menyongsong arus ini sebenarnya telah dilakukan oleh pejuang terdahulu iaitu Dato Bahaman dan Mat Kilau yang berani menentang kezaliman penjajah Inggeris. 

       Namun tindakan yang dilakukan ini bukan menjanjikan kebahagian yang segera. Kita mungkin terpaksa menghadapi cemuhan dan cabaran bahaya yang mengundang maut. Kita tidak perlu berjuang sehingga mengangkat senjata sebagaimana pejuang dahulu yang terpaksa bertempur dengan keris, tetapi cukuplah berjuang melalui media penulisan sebagaimana contoh berikut:

"masih  belum kiamat, dik
kau tiba pada senja
lewat seribu musim
aku menggenggam keris lok tujuh
kau menggumam pantun
dan gurindam. Namun


masih kita punya satu ibu!"

       Kemampuan kita memberikan pendapat dan berani menyatakan kebenaran sebenarnya adalah mewarisi sifat nasionalisme yang terdapat dalam diri pejuang terdahulu. Oleh itu tindakan menyongsong arus bukanlah satu penderhakaan tetapi merupakan sesuatu kebijaksanaan demi cintakan negara dan menyelamatkan negara dari kehancuran. Cuma tindakan kita itu perlu bijaksana dan bukan di atas kepentingan diri. 


Soalan perbincangan:

Bincangkan kemungkinan yang boleh anda lakukan dalam penulisan anda demi membuktikan bahawa anda seorang yang cintakan negara anda.                                                                       [25]









No comments: